Friday, July 24, 2009

PTK kohot 3 2009

18-20 Julai 2009 - Saya telah mengikuti PTK di The Regency Hotel, Alor Setar bersama kumpulan PPD Negeri Kedah.Selain dari kami peserta adalah terdiri daripada Guru Besar Sekolah Rendah dari negeri Perak,Perlis,Pulau Pinang dan Kedah.
Dalam kumpulan 8, saya telah dilantik jadi Ketua Kumpulan kebetulan ketua yang sepatutnya tidak hadir . Kami telah diberi tugas membuat persembahan fungsional secara solo,persembahan penyelesaian kes secara kumpulan, ujian fungsional dan ujian generik pada hari terakhir.
Saya telah dapat berkenalan dengan PPD dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Selain itu kawan sebilik iaitu Mahali Mahat, GB Sekolah Kebangsaan Siong. Membaca bagai nak rak. Akhirnya soalan tak satu pun yang kena dengan apa yang dibaca. Jawap sajalah dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada.
Keseluruhan PTK amat baik dan berharap agar keputusan diperolehi berjaya dengan cemerlang. Kami tidak mahu mengulang semula dimasa akan datang.

Alam Misteri-Tok Putih akhirnya


23.07.2009-Hampir 3 minggu, isteriku Nonisah mengalami rasa sedih. Waktu bangun pagi kerana mengalami badan yang amat letih,tak bermaya.Apabila hendak makan perasaanya berubah.Beliau mengalirkan airmata hingga tidak makan.Gangguan ini dialami pada keadaan yang tidak menentu.Hari-hari rasa sebak didada,darah mengalir laju dan jantung berdenyut kencang. Perasaan rasa sangat sayu.
Bermula dengan Hj Daud ( ayah Bariah ) tinggal di kawasan kampung dekat Taman Jitra. Doa dibaca pada air dan badan. Jumpa dengannya sebanyak 2 kali dan sekali ajak dia datang ke rumah untuk mengesan adakah gangguan dikawasan rumah. Tapi tidak tiada dirasakan pelik.
Kali kedua, kami pergi berubat di kampung di belakang Taman Maheran. Jumpa dengan En. Abd. Rahman ,pertama kali,cara beliau mengubat dengan buah kurma 3 biji dan air. Kali kedua beliau menarik keluar makhluk jahat dalam badan keluar dan masukkan ke dalam botol. Isteriku menangis teresak-esak. Dia rasa tersangat letih dan sangat sakit pada bahagian kepala.Masih tidak lega. Rasa bulu roma cering sudah tiada.
Ketiga,kami pergi pula jumpa dengan Ustaz Saleh di Pauh,Perlis. Pengubatannya hanya guna air dan bacaan Al Quran. Kali pertama bawa air untuk minum. Air diminum dan mandi, air tidak boleh ditambah-tambah.Kali kedua bawa barang makanan yang dimakan. Masih tidak lega.
Keempat,kami berdua pergi jumpa Ustaz Hasri dibelakang Maktab Mahmud,Padang Terap ikut Kuala Nerang dengan Ust. Zaki,isterinya & Kak Norizan.Bawa air dan ditukar air yang dibacakan Surah Yasin di rumahnya. Balik minum. Masih juga tidak kurang gangguan.
Kelima,kami berubat dengan Ustaz Jamil anak murid Haron Din di Bohor,di belakang Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung.Waktu mengubat pada hari Selasa selepas asar hingga malam dan Khamis selepas hingga malam. Bawa air saja. Kali pertama,dibaca doa mengusir jin dan makhluk halus. Air diminum dan boleh ditambah.
Kali kedua disuruh bawa garam kasar,kain dan limau purut.Mandi selama 7 hari dan mengamalkan bacaan tertentu sebanyak 35 kali setiap waktu lepas solat. Selesai 7 hari,semua bahan tadi dihanyutkan ke sungai untuk membuang penyakit.
Kali ketiga masih pergi lagi,minta didoakan air agar lega. Disuruh pula bawa batu lada.Tapi tak pergi sebab perasaan sedih isteriku masih tidak lega.
Keenam,Kak Rubiah Pengarah MADA (kawan aerobik isteriku) mengesyorkan supaya cuba pergi ke Felda Laka Selatan.Jumpa dengan Tok Putih.Pada 22.Julai.2009.Kami membawa 2 tong 5 gelen air, kami pergi bersama dengan Som,isteri Wan Salim tetangga di Taman Permai. Selepas asar.di rumah Tok Putih, beliau qamat dan baca ayat qursi sepanjang mengubat. Dibacakan doa pada air dan pada pesakit. 1 tong air untuk mandi semasa azan maghrib dan 1 tong lagi buat minum. Minyak kelapa turut didoakan . Minyak disapukan pada dahi dan dada dengan cara menulis kalimah Allah sebelum tidur. Isteriku berasa sangat letih seharian tidak bermaya.
Hari kedua,bawa 1 tong saja untuk mandi dan isteriku dibacakan doa .Balik mandi semasa azan maghrib juga.Wajah isteriku nampak sihat dan kuat sedikit. Matanya mula menyinar.
Hari ketiga,isteriku pagi-pagi lagi sudah bangun dan kelhatan ceria. Beliau tidak seperti biasa asyik mengadu letih dan sugul.Pagi-pagi lagi sudah ada selera mahu makan. alhamdulillah, dalam masa 3 hari isteriku telah menunjukkan perubahan.Beliau beransur pulih dan nampak sihat. Kami pergi ke Felda Laka Selatan pada jam 8.05 pagi dan sampai di sana jam 8.30 pagi. Keadaan sangat tenang sekali. Kami berada di rumah Tok Putih untuk memulakan pengubatan. Tok Putih masih bersiap. Pukul 8.40 baru Tok Putih muncul dan berjumpa kami berdua.
Beliau kemudian mengambil bunga raya putih untuk dibuat ramuan mandi dengan air 1 tong yang kami bawa. Tidak lama kemudian,beliau membawa seplastik bunga raya putih. Bunga raya putih itu di tanggalkan tampuknya dan di buang filementnya.Sementara kami menunggu bunga raya kembang.Tok Putih telah meneritakan sejarah asal mulanya beliau mengubat orang.Banyak perkara misteri dan mistik yang kami dengar.Allahualam.
Jam 10.00 pagi, bunga pun kembang, Tok Putih pun mula membaca doa pada air, bunga dan isteriku. Beliau berpesan agar semua yang ditawarkan itu. guna buat mandian semasa azan zuhor nanti.Kami pun selesai jam 10.05 pagi.Kami beredar pulang ke Jitra dengan harapan agar
penyakit yang dialami sembuh dan tidak berulang kembali.Alhamdulillah isteriku mula sihat dan ceria semula.
Inilah dunia kehidupan, setiap penyakit ada ubatnya.Pokoknya kita bersabar untuk mencari dimanakah ubatnya. Cuma caranya berbagai. Cara hospital telah dibuat namun tidak ada
penyembuhan. Ikhtiar pula cara pengubatan al quran.Insyallah,jika bertemu jodohnya.Sembuhlah penyakit tersebut seperti kunyit dengan kapur.Amin.
Alam misteri Tok Putih akhirnya

Friday, July 17, 2009

Laptop kena serang virus

14.7.2009- Sedang Faiz main game tiba-tiba laptop terpadam dan tak mau masuk ke Windows semula. Akhirnya terpaksa format semula. Guna installer Jebat dan Hj Khalid. Bengang dibuatnya.
Nasib Nana pandai install semula. Tapi masih banyak yang belum berfungsi .Kira o.k lah.

Kursus Artrage

13.7.2009-Kursus Artrage 2.5 di Makmal Bestari. Tujuan adalah mempelajari selok belok melukis dengan cara digital dalam komputer. Pengajarnya adalah Tn Hj Khalid dari Jabatan Pemulihan Khas. Beliau memang mahir dalam menghasilkan lukisan menggunakan perisian Artrage ini.
Banyak hasil karyanya telah di "upload " ke dalam forum Artrage dalam internet. Karyanya sangat menarik dan menakjubkan.
Saya tertarik hati untuk mempelajarinya.Beliau mulanya menunjukkan teknik melukis dgn menggunakan perisisan paint.Mula dari cut and paste,rotate utk bayang dan guna tools.Hasilnya agak kasar. Akhirnya beliau tunjukkan cara melukis dgn Artrage. Amat bagus dan mengujakan.Hasilnya lebih halus dan menarik. Kini saya amat seronok melukis dengan Artrage. Tapi masih guna perisian percuma nak mahirkan bakat yang dah lama tersimpan. Saya akan cuba buat yang terbaik.Hasilnya akan dipaparkan kelak.

Sunday, July 12, 2009

Kerang masak kicap pedas-Resepi Sarah


9.7.2009- Pergi ke Nat Tok Jalai ,hari Jumaat mencari bahan masakan untuk stok mingguan. Bahan utama nak cari kerang,ikan dan sayuran. Sarah,adik angkat Nana nak sangat makan kerang masak kicap pedas berkuah. Dah 2 minggu mengidam. Cari kerang tak jumpa.Akhirnya hari ini dapat juga.
Ibu masak seperti yang digambarkan. Boleh tahan sedap. Udang masak goreng bersalut tepung gogi dan masak kari pekat,Sayur sawi masak goreng biasa. Nasi goreng pun ada, taruk goreng telur dadar.
Sudah siap kami pun makan beramai-ramai. Seronok tak terkata. Hmmmm enak dan lazatnya.